Followers
10 October 2012
Jiwa Kacau :(
"Hidup tak selalunya indah. Tapi yang indah itu akan sentiasa hidup dalam kenangan."
Kenapa makin kita nak dekat dengan seseorang, makin diri kita dijauhkan dengan si dia.
Kenapa makin kita sayangkan seseorang, makin banyak kita berendam air mata.
Kenapa setiap kali kita rancangkan sesuatu, rancangan kita itu sentiasa punyai banyak halangan.
Kenapa semakin jelas masa depan kita, semakin kabur sebenarnya ia.
Kenapa tangisan itu terjadi, walaupun kita sedang bahagia.
Kenapa kebahagiaan itu sentiasa untuk sementara.
Kenapa kita sentiasa dipertemukan dengan orang yang salah.
Kenapa kita sentiasa merasai hidup kita tak seindah hidup mereka.
Dan kenapa aku sentiasa mempersoalkan sesuatu walau aku sudah jelas dengan jawapanNya.
Ya Allah, kami berlindung denganMu dari segala dugaan yang tidak kami terdaya. Dan kami pohon, Kau redhailah hidup kami dan permudahkanlah segala urusan kami. Kami tahu, setiap ujian dan dugaan yang datangnya silih berganti ini adalah untuk Kau menguji sejauh mana tahap kesabaran kami. Dan untuk itu, kami pohon agar Kau besarkanlah jiwa kami, kuatkanlah hati kami untuk melalui semua ini. Sesungguhnya, hanya kepadaMu kami memohon pertolongan. Aamiin.
07 October 2012
Bila Terasa Rindu
Assalamualaikum.
Bila terasa rindu ku sebut namamu
Dengan harapan kau akan muncul dalam tidur
Bila terasa rindu ku bayang wajahmu dalam angan
Dan barulah ku terasa bagai disembuh
Jauh sekali hidup di sini berbeza
Beribu kali lagi ku selesa di sana
Tak sabar menantikan detik kepulangan
Namun hingga itu
Apa yang termampu
Malam-malam bila tak dapat lelap ni, mula la teringat kat keluarga. Kebahagiaan dan kegembiraan bila bersama-sama keluarga tu memang lain. Memang takkan dapat ditandingi. Suka duka, gelak ketawa, susah dan senang, semua dikongsi bersama. Walau ada BFF sekalipun, tetap tak dapat tandingi mereka yang sangat-sangat saya sayangi ni.
Abah dan Ummi. Orang yang paling disayangi di atas muka bumi ini. Tanpa mereka, tiadalah diri ini di dunia. Abah. Mendidik anak-anak dengan cara yang tegas. Namun, ketegasan itulah yang berjaya mendidik kami sehingga kami berjaya menjadi diri kami yang sekarang. Ummi. Penuh kelembutan. Memberi didikan kepada kami dengan penuh rasa kasih sayang. Sungguh, tak sabar rasanya nak tengok riak mereka saat diri ini dianugerahkan segulung ijazah. Berharap agar diri ini berjaya menjadi seorang Pensyarah. Dan InsyaAllah, akan ku usahakan sehabis daya. :)
Along. Seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Teringat kenangan masa sekolah rendah dulu-dulu. Selalu je lambat ke sekolah. Dan masa tu, alonglah yang memainkan peranan yang penting. Menjadi wakil adik-adik untuk dirotan oleh Cikgu Disiplin. Kesian along. Tapi, kenangan tulah yang selalu disebut-sebut bila berkumpul sekarang. Oh ya. Di samping seorang pendidik, along juga salah seorang pengusaha Kedai Kasut Geo Ronnie di Johor. Dan Alhamdulillah, sekarang turut mempunyai beberapa cawangan dan pengedar di beberapa buah negeri. Dan di sebelah along adalah kak long kitorang. Sangat lembut orangnya. Menjadi suri dihati along sejak di sekolah menengah lagi. :) Baru-baru ini, telah dianugerahkan seorang putera comel sekaligus menceriakan hidup kami sekeluarga. Aisy namanya.
-
Ini pula satu-satunya kakak kandung saya. Sangat-sangat penyayang. Sangat pandai memasak. Juga, sangat pandai mengurus adik-adik beliau dari segi kewangan. Hehe. Boleh dikatakan bendahari dan penasihat kewangan kami lah. Kalau nak selamat, bayar bil astro sebaik saja bil sampai, dan jangan lupa bayar duit tabung adik beradik. Sekarang sibuk menguruskan urusan Kedai Kasut Geo Ronnie cawangan Dungun, juga memainkan peranan penting dalam menguruskan syarikat pembekal barang-barang perkapalan kecil-kecilan milik abah.
Yang hensem bergaya ni pulak, satu-satunya abang saya yang masih bujang. Dialah kawan yang paling rapat masa kecik-kecik dulu. Balik sekolah, mesti dia beli gula-gula bungkus dalam surat khabar. Hadiah untuk saya katanya. Huhu. Sekarang, diamanahkan untuk mengurus cawangan Kedai Kasut Geo Ronnie di Dungun bersama-sama kakak dan juga menguruskan 'bisnes' abah dalam bidang perumahan dan kerja-kerja kontrak. Oh ya. Abang cik ni memang sangat prihatin terhadap adik-adiknya.
Yang kat atas ni pula, adik saya. Satu-satunya adik yang saya ada di dunia ini. Tahun ni, baru tingkatan tiga. InsyaAllah, isnin ni akan menduduki peperiksaan PMR. Selalu punyai pemikiran yang sama dengan saya. Suka ke bandar dan pasar malam. Sukakan Yong Tau Fu dan Keropok Sri Sura. :D Dan yang paling tak dapat tahan, suka menge'paw' duit kakaknya ini. Bak kata dia, "Duitmu duitku jua".
Akhir sekali, diri saya selaku penulis blog ini. Alhamdulillah, tahun ini sudah cukup umur untuk mendaftar sebagai pemilih. Alumni Sekolah Menengah Imtiaz Dungun dan sekarang merupakan pelajar semester empat BBA (Hons) Human Resource Management di UiTM Perak.
Sekian entri khas sempena mata tak dapat lelap. Hasil akibat selalu tengok tiket balik Raya Haji dalam purse ala-ala mak datin tu.
p/s : Selamat malam dan jangan lupa bacaan al-mulk ye. :)
03 October 2012
Semester ini. Hectic?
Asal malam Khamis je mesti fikir. Nak guna beg mana esok ni. Yang ni ke yang ni? Dua-dua dah nak putus. Lagi best, esok jadual penuh sampai petang. Buku-buku pula boleh tahan tebalnya. Memang betul-betul berjihad la kami sekelas. Takpe, takpe, demi ilmu, lautan bergelora sanggup kami renangi. Eh?
terpaksa 'stapler' tali beg ni buat sementara waktu. =.=!
Bahu kiri pun dah makin sakit. Ingatkan tersalah tidur ke hape. Mana tak sakit kalau semua buku nak disumbat dalam beg kecil molek ni. Dah nak buat macam mana memang diri ni tak suka nak 'kelek' buku dengan tangan ala-ala lecturer tu. Esok kalau sakit lagi, tampal panaflex la gamaknya.
mungkin kena consider beli beg macam ni. senang. takde sakit bahu dah lepas ni.
Alang-alang dah sembang tentang akademik ni, nak la juga kongsi berkenaan subjek-subjek yang diambil untuk semester 4 ni. Manala tahu ada junior-junior atau kawan-kawan yang bakal ambil subjek ni semester hadapan. Boleh la tahu sedikit sebanyak tentang subjek ni. Ye dak?
Pertama, subjek yang paling diminati sejak sekolah rendah. Bahasa Inggeris. Tapi, dah masuk universiti ni, canggih la sikit namanya. BEL 422 ataupun nama panjangnya Report Writing. Subjek ni adalah berkenaan dengan menulis laporan berdasarkan kajian yang kita buat. Setakat ni, pensyarah baru masuk sekali. Subjek ni diajar oleh Sir Mazlan. Pernah belajar di US selama 6 tahun. So, bila dah dengar latar belakang beliau, mula la diri ni rasa cuak. Bahasa mesti kena power ni. =.=
Kedua, subjek Employee Training and Development (HRM 549). Subjek ni diajar oleh Madam Nisak yang mungkin digeruni oleh sebahagian besar pelajar Pengurusan Sumber Manusia ni. Tapi sebenarnya, Madam Nisak ok je. Penyampaian pun padat dengan contoh. Subjek ni penting untuk bakal HR practitioners macam kami. InsyaAllah, kalau ada 'rejeki'.
Ketiga, HRM 542 iaitu Subjek Recruitment and Selection. Ataupun Staffing. Subjek yang agak 'tough'. Sarat dengan point-point penting yang sememangnya kami perlu faham dan hafal. Subjek ni diajar oleh Madam Husna yang mungkin sekarang sudah bahagia menyambut kelahiran anak ketiga beliau. Madam ni ceria bila mengajar. Memang kitorang tak kering gusi lah. Tapi, disebabkan beliau dah cuti bersalin, pensyarah baru yang akan ganti tempat Mdm Husna ni. InsyaAllah, esok masuklah pensyarah baru untuk mengajar kami subjek ni.
Keempat adalah subjek yang paling ditakuti untuk semester ni. HRM 582. Employment Law. Dah namanya law, banyaklah undang-uundang yang kami perlu hafal. Tapi, tak semua jugak. Yang berkenaan dengan pekerja sahaja. Undang-undang berkenaan gaji, cuti, union, maternity leave, Socso, EPF tu semua termasuk bawah ni. Seronok juga belajar sebujek ni kalau nak banding dengan subjek Business Law masa semester satu dulu. Harap-harapnya, boleh la skor subjek ni walaupun dikategorikan sebagai subjek 'killer'. Oh ya, Madam Khalizani yang ajar kitorang subjek ni. Pensyarah yang punya banyak pengalaman untuk dikongsi.
Kelima, ENT 530 iaitu Entrepreneurship. Subjek yang diajar oleh Madam Hazwani ni sangat-sangat seronok. Subjek ni berkenaan dengan Usahawan. Dah nama nya subjek Keusahawanan. Jadi, sesiapa yang berminat untuk jadi usahawan muda satu hari nanti, eloklah juga belajar subjek ni. Mana tahu dapat jadi macam Syed Mokhtar Al-Bukhary satu hari nanti. Subjek ni la satu-satunya subjek yang paling banyak 'contact hour' nya. 5 jam seminggu. Alasannya, sebab kelas kitorang gabung dengan kelas satu lagi. Mungkin nak pastikan kami betul-betul faham kot. Mungkin.
Keenam, subjek ECO 535 ataupun Labor Economics. Subjek ni diajar oleh Miss Jamilah ataupun nama popular beliau, Miss J. Beliau sangat-sangat berpengalaman dalam mengajar subjek ni. Contoh-contoh yang beliau bagi pun semuanya 'fresh'. Cuma saya la masalah sikit bahagian nak fahami graf-graf ni. Subjek ni pun boleh tahan mencabar jugak. Ada kira-kira dan ada graf. Kena usaha lebih sikit la nak fahamkan semua ni.
Akhirnya, subjek yang diajar oleh Ustazah Khairiah, iaitu CTU 553. Nama lainnya, Hubungan Etnik. Subjek Hubungan Etnik ni kalau tak silap memang semua Universiti kena ambil. Subjek ni lebih kurang macam sejarah jugak. Tapi tak semua yang kita belajar dari tingkatan satu sampai tingkatan 5 tu masuk. Cuma yang berkaitan dengan etnik-etnik, bangsa-bangsa dan sewaktu dengannya sahaja yang masuk. Subjek ni jugak memang mencabar bagi diriku ini. Sebabnya, dari dulu sampai sekarang memang lemah sikit bab-bab sejarah ni. Kalau dulu, buku sejarah tu boleh dijadikan ubat tidur. Tapi harap-harapnya, Hubungan Etnik ni tak alami nasib yang serupa lah.
Demikian sahajalah subjek-subjek yang diambil untuk semester 4 ni. Moga semester ni dapat dilalui dengan penuh bersemangat. Doakan kami ye. :)
hah. ni buku-buku yang kena pikul setiap hari khamis. takde gap nak balik-balik hambek.
I Love You?
Assalamualaikum.
Sekarang baru pukul 11 pagi. Ada lebih kurang dua jam lebih 'gap' untuk kelas seterusnya. Nak buat preparation untuk kelas seterusnya macam nak tak nak lagi. Jadi, sementara nasi kukus tengah hadam dalam perut ni, jom kita baca salah satu status terpilih untuk hari ni. Boleh jadi peringatan juga bagi mereka yang sedang hangat-hangat bercinta tu. Tak nak membebel panjang-panjang, jom baca.
Jangan SERING kata "I LOVE YOU" kepada dia yang bukan mahram bagimu... Percayalah, apabila kamu berdua sudah berkahwin, perkataan I LOVE YOU sudah jadi biasa dan tidak romantik lagi...
Rugi bukan?
Kita nak ROMANTIK selepas kahwin atau "sebelum kahwin je"?
Cuba tanya diri kita... :)
DIALOG SPECIAL :-
Isteri -"Abang, abang tak menyesal ke kahwin dengan saya, saya kan tak cantik.. Abang Kata abang ada RAHSIA nak bagi tahu kat saya selepas kahwin? Apa rahsia yang abang nak beritahu tu? Kita skrang sudah pun di ijab kabulkan?
Suami -"Sayang,...abang kahwin dengan awak bukan sebab awak ni cantik ke, buruk ke, tetapi kerana cinta yang ada dalam hati abang. Abang nak bina hubungan yang diredhai ALLAH.Abang tak nak kita bercintan-cintan sebelum nikah,kelak Allah tarik nikmat pernikahan itu.. Hehe, sayang masih ingat ye, hmm.. Malu lah, hehe.. Abang cuma nak cakap... Sayang, I LOVE YOU LILLAH~ Forever~
Isteri-Subhanallah ^_^ , hehe... I LOVE YOU 2, 3, 4ever abang~ Inilah lafaz cinta dari abang pada sayang selepas 'aku terima nikahnya' ..
♥ Bernikahlah kerana ALLAH dan semaikan cinta kerana ingin menyempurnakan kecintaan kita kepada ALLAH. Ajaklah suami atau isteri anda agar lebih dekat kepada ALLAH. Agar hubungan yang dibina itu menjadi lebih barakah dan bahagia hingga sampai ke Jannah. InsyaALLAH ♥ ♥ ♥
Senyum-senyum nampak. :D Moga Allah kurniakan jodoh yang terbaik untuk kita semua.
02 October 2012
Darjah 1 vs Mahasiswa. Oh!
Pergi ke pekan membeli sagu,
Pergi bersama si cantik Nurma;
Indah paras buruk tingkah laku,
Ke mana sahaja tidak diterima.
Acewah, berpantun bagai entri kali ini. Saja nak bagi cikgu Bahasa Melayu sekolah dulu bangga sikit ada murid yang masih memartabatkan Bahasa Melayu ni. Hehe. Terima kasih cikgu buat saya cinta akan bahasa ibunda ini. Walaupun Bahasa Melayu saya sekarang makin teruk. Nak berpuitis pun dah tak mampu. Takkan nak gurindam pulak kan duk UiTM ni.
Entri kali ini bukanlah nak tonjol betapa hebatnya saya berpantun. Bukan juga kerana mahukan UiTM tukar bahasa utama. Tapi, entri kali ini adalah berkenaan dengan amalan-amalan yang telah kita lupakan. Saya tak nak ambil contoh amalan membaca. Dah tersangat klise dah. Saya cuma nak ambil contoh 'simple'. Ala, amalan-amalan yang budak darjah satu sangat ambil berat dan kita yang dah besar panjang hanya memandang remeh. Rasa tercabar pulak kan? Budak darjah satu VS Mahasiswa. Aish! Nak cerita pun malu. Tapi nanti tak lengkap la pulak entri ni kan. Ok, stop.
Amalan-amalan yang dimaksudkan tu adalah seperti di bawah :
1) Amalan membuang sampah.
Dengar macam remeh kan? Tapi sebenarnya tidak. Budak darjah 1, pergi sekolah awal-awal, tengok jadual tugasan, ambil penyapu dan sapu sampah sampai bersih. Tapi mahasiswa di universiti, pergi kelas memang betul-betul 'punctual' (kalau kelas mula pada pukul 8, maka pukul 8 la baru terpacak di dalam kelas) duduk, sembang-sembang tunggu pensyarah masuk, masa kuliah mengantuk sebab syok sangat main dota sampai subuh, seluk poket seluar, ambil gula-gula, makan, dan selit pembalut gula-gula tu di celah-celah meja kuliah. Sangat tidak 'cool'. Mungkin kreativiti yang ingin ditunjukkan kerana berjaya menyorokkan sampah tanpa ada orang perasan. Cik abang, Cik kak, kalau dah banyak sangat terselit dan menyelit tu, akan nampak la jugak kan. Jangan risau, mak cik cleaner tu tak kan makan gaji buta pun kalau korang buang sampah tu sendiri. Dorang sendiri banyak kerja jugak. Anggap la kalau orang buat macam tu kat emak kita. Sanggup ke tengok? Kalau buat pertandingan kelas terbersih ni, konfem kelas budak darjah satu menang.
2) Kreativiti tanpa mengenal tempat.
Nampak macam hebat. Ya, saya tahu. Memang sekarang kerajaan sangat menggalakkan rakyat agar tampil kreatif. Tapi, kalau dah terlebih kreatif tu, susah jugak. Kalau budak sekolah, boleh la tahan. Paling-paling pun, mereka akan padam jugak bila nampak rotan guru kelas. Tapi, kalau yang mahasiswa ni macam mana pula lagaknya? Habis meja diconteng-conteng. Siap buat komik lagi. Macam-macam watak hero dan heroin ada. Tak yah cakap la yang tulis surat cinta bagai tu. Sangat tidak matang. Kalau nak melukis sangat, sediakan siap-siap 'sketch book' dalam beg tu. Senang. Terus keluarkan bila tangan dah mula terketar-ketar nak melukis tu. Bukukan hasil kreatif anda tu. Sekurang-kurangnya, tenang sikit masa kuliah. Yelah, meja sikit pun tiada hasil contengan. Barulah berkat ilmu yang kita belajar kan? Sebab tak leh tulis 'toyol' atas meja masa kuiz. Haha. Padan muka.
Kali ini saya kongsi dua amalan saja. Nanti panjang-panjang, meleret-leret la pula kan? Jadi, kesimpulannya, kalau dah harta awam tu, sama-samalah kita jaga. Untuk kegunaan bersama juga kan? Jadi, sama-samalah kita semai sikap bertimbang rasa. Jom jadi matang. :)
01 October 2012
Dakwah. Diri Belum Cukup Sempurna?
Tertarik dengan status seorang sahabat di 'wall facebook'nya pagi tadi.
"Aku berdakwah bukan kerana ingin menarik cinta manusia. Namun aku berdakwah kerana ingin menarik cinta Allah, dan menarik manusia agar mencintai DIA."
Selalunya, kita sentiasa menolak cabaran untuk berdakwah dengan beralasan 'diri belum cukup sempurna'. Walhal, kita semua sudah sentiasa maklum bahawasanya, 'nobody is perfect'. Dakwah itu banyak caranya. Saya tak kata yang kita perlu 'groom' diri kita ala-ala orang tabligh. Berserban, berkopiah, duduknya di masjid 24 jam. Namun, seandainya kita mampu untuk jadi seperti mereka, alhamdulillah.
Terdapat banyak wasilah untuk kita berdakwah pada zaman sekarang. Tapi sayang seribu kali sayang. Kebanyakan wasilah-wasilah tersebut disalah gunakan oleh kebanyakan manusia. Apakata kita cuba untuk mula berdakwah dengan semudah-mudah cara? Mulakan dengan meng'update' status-status yang mampu memberi manfaat kepada mereka yang membaca status kita.
Contohnya :
"Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar"
"Jom solat zohor"
Mudah kan? :)
Pesanan Lewat Malam
"Hidup umpama roda. Tidak selalunya di atas. Begitu juga dengan yang bawah. Tidak akan selamanya berada di bawah."
Jangan sesekali menghukum seseorang berdasarkan masa silamnya. Kerana, hidup ini adalah untuk masa sekarang dan masa akan datang. Masa lampau itu seharusnya menjadi dorongan untuk kita menginsafi segala kekurangan diri. Ingatlah. Setiap orang seharusnya sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.
Saidina Ali RA pernah berkata :
Manusia yang harinya lebih baik dari semalam, maka beruntunglah ia. Jika harinya sama seperti semalam pula, malang pula nasibnya. Dan seandainya harinya lebih buruk dari semalam, celaka datang menimpa dirinya.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :
Katakanlah (wahai Muhammad) : "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
Ayuh, jadikan hidup kita lebih bermakna. Lebih produktif.
Subscribe to:
Posts (Atom)









