Followers

24 October 2012

Bila Solat Dipandang Enteng

Assalamualaikum.

Sekadar nak berkongsi rasa kecewa malam semalam. 

Situasi : Bas berhenti seketika di Medan Gopeng. Pemandu dah turun selama 10 minit. Tanpa memberitahu berapa minit bas akan berhenti di situ. Tengok jam, dah pukul 8.45 malam. Mula mengambil keputusan turun daripada bas untuk mencari pemandunya. Alhamdulillah, jumpa. 

Saya : Pak Cik, lama lagi ke bas ni berhenti?
Pemandu bas : Oh, kenapa? *muka tenang.
Saya : Camni, kalau lama lagi, saya nak pergi solat dulu. *sambil tersenyum manis. 
Pemandu bas : Solat? Orang lain dah lama dah pergi solat. Semuanya dah siap solat dah pun. Kenapa tak pergi dari tadi? Pergi la nak pergi pun. Tapi kalau bas tinggal nanti, jangan nak salahkan orang. Solat, solat. Orang dah nak gerak, sibuk pulak nak solat. Bla bla bla bla. *Tiba-tiba berubah riak dan terus membebel dengan bebelan yang tidak dapat difahami.

Pelik pak cik ni. Kenapa tiba-tiba je nak marah-marah. Aik? Ade ke orang yang turun pergi solat tadi? Rasanya yang turun tadi, semuanya kejap-kejap je dan naik semula bas sambil membawa makanan ringan. Hm! 

Saya : Oh, maknanya, tak boleh pergi la ni? Kalau bas dah nak gerak, saya solat kat perhentian nanti pun takpe. Tapi, nanti bas ni akan berhenti kat mana? 

Pemandu bas terus membebel-bebel sambil berjalan menuju ke arah bas. Dan saya menuruti dari belakang. Terkedu. Soalan tidak dijawab. Air mata hampir mengalir. Tapi, cuba menampakkan riak tenang. 

Sampai je kat bas, cuba memberanikan diri sekali lagi untuk bertanya. 

Saya : Pak cik, nanti bas ni nak berhenti kat mana?
Pemandu bas : Pergi je la nak pergi sembahyang pun. Cepat sikit. Bas dah nak gerak, sibuk nak pergi sembahyang. *Ngomel pak cik tu lagi dengan suara yang tak nak kalah. 

Tiba-tiba diri terkedu. Jalan di depan dah nampak kabur-kabur dek air mata yang bergenang. Langkah disusun laju ke surau yang letaknya jauh dihujung kaunter-kaunter tiket. Diri ini kena kuat.  

Ya Allah, salahkah aku? 

Usai solat, cepat-cepat menyarungkan tudung tanpa melihat cermin walaupun seketika. Berlari-lari anak ke tempat bas berhenti tadi. Dengan harapan, hati pak cik tu masih lembut untuk menunggu diri ini walaupun berbagai kata-kata kesat telah dilemparkan. 

Alhamdulillah. Bas masih di situ. Menunggu diri ini. Mungkin. Sambil membaca bismillah, kaki melangkah mendaki anak-anak tangga bas. Tiba-tiba....

Pemandu bas : Ha, yang ni pergi mana ni! Melambatkan orang je. Habis satu bas ni tunggu awak je. Kalau orang lain lambat sampai karang, sebab awak lah!
Saya : Er. Maaf pak cik. *suara dengar tak dengar. Sebak. 

Bergegas ke tempat duduk. Telefon bimbit dicapai dan jari cepat mendail satu nombor.

Tet, tet. Tet, tet. Tet, tet. Kedengaran suara memberi salam di hujung talian.

Saya : Waalaikumussalam ummi. Ummi... *suara terhenti. Air mata terus mengalir laju. Tak dapat ditahan lagi. Terdengar esakan kecil. Harap-harap, tiada siapa yang mendengarnya.
Ummi : E-ah? Bakpe ni? Bakpe? Ok ke? (Bakpe = Kenapa)
Saya : Ummi, salah ke E-ah nak sembahyang? Salah ke E-ah ni? Bakpe sampai kene tengking-tengking sampai satu bas dengar? *Membahasakan diri sebagai E-ah. Nama timangan sejak kecil.
Ummi : Ya Allah. Bakpe salahnya. Sape yang tengking E-ah? Ce cerita kat ummi.

Meluahkan segala-galanya kat Ummi buat hati rasa tenang. Di akhir perbualan, ummi sempat berdoa, moga perjalanan selamat daripada bahaya. Ummi juga berdoa supaya pak cik pemandu bas diberikan hidayah. Walaupun diri sendiri susah nak dirikan rukun Islam kedua itu, sekurang-kurangnya, terbuka hati memperuntukkan masa untuk penumpang bas menunaikan solat. Dan, Ummi bertegas untuk melaporkan perkara ini ke pihak atasan syarikat bas tersebut. Dan kemudian, akal ligat mengingati kembali. 

"Ya, pak cik ni memang pak cik yang selalu bawa bas ke Dungun. Oh. Patutlah. Memang tak pernah nampak dia sembahyang walaupun berhenti di perhentian. Biasanya, kalau bas berhenti, orang yang akan mencari surau, hanya aku dan Alia (sahabat sedaerah). Ya Allah, jauhi aku dari berburuk sangka." Bisik hati. 

Akhirnya, diri ini memilih untuk tidur dengan harapan cepat tiba di rumah. 

Tamat

Perkara yang dikesalkan :
- Solat itu dipandang begitu enteng.
- Diri ini begitu lemah untuk mempertahankan hak.

p/s : Harap semua syarikat bas mengambil berat akan isu ini. Sekian.

No comments: